09 July 2009

Cerita Buku

I
Rakan lama dari Semenanjung bercerita pada aku tentang kisah dia membeli 3 judul buku karya penulis tersohor pada harga kurang dari RM50.

Pramoedya Ananta Toer, Putu Wijaya dan Iwan Simatupang.

Rakan lama bukan baru pulang dari libur-libur di Indonesia. Dia baru balik membeli belah di Tesco Seberang Perai.

Ceritanya, toko buku gergasi Indonesia, Gramedia sudah buka cawangan di sana. Terkesima aku dibuatnya dan mungkin terduduk pula tauke-tauke buku Malaysia seperti Popular dan MPH.

Gramedia, untuk yang kurang arif ialah konglomerat media gergasi Indonesia. Ibarat Media Prima, tapi mungkin dalam konteks 10 kali ganda lebih besar. Dan tidak seperti Media Prima, aktiviti Gramedia turut melibatkan penerbitan dan pemasaran buku.

Purata buku terbitan Gramedia setiap tahun mencecah 3000 judul. Ia memiliki percetakan termoden dan rangkaian kedai buku paling meluas di Indonesia.

Penghujung tahun lepas, Gramedia mula mensasarkan untuk masuk ke pasaran buku Malaysia. Ikut perancangan sebanyak 10 cawangan mungkin dibuka dan ianya akan menempatkan 60% buku Melayu tempatan dan selebihnya buku-buku Indonesia atau antarabangsa.

Niat Gramedia agak murni untuk memberi nafas kepada industri buku tempatan. Persoalannya sejauh manakah industri buku tempatan dapat memenuhi niat Gramedia yang mahu memuatkan 60% buku Melayu tempatan di dalam cawangan mereka di Malaysia yang pada dasarnya akan mempunyai keluasan minimum 20 ribu kaki persegi?

II
Dunia sastera Indonesia memang jauh lebih gah dari dunia sastera negara kita.

Dengan adanya toko buku seperti Gramedia ruang untuk kita mengenali dunia sastera Indonesia dan penulis-penulisnya kini jadi lebih meluas.

Mungkin lepas ini nama seperti Andrea Hirata, Ayu Utami, Hernilatiens dan sebagainya bisa menjadi buah mulut kita di sini.

Hikmahnya di Indonesia sana bahasa mereka dipupuk dan dibajai dengan baik. Bukan saja para penulis Indonesia tidak putus-putus menghasilkan karya, malahan konglomerat seperti Gramedia sendiri bertanggungjawab menterjemah buku-buku bahasa lain ke bahasa Indonesia, buat mengembangkan bahasa mereka dan memupuk minat membaca.

Salah satu jualan terlaris di sana ialah novel Malaikat Dan Iblis, iaitu terjemahan Angels And Demons karya Dan Brown. Itu belum kira terjemahan Harry Potter dan banyak lagi.

Bila berlaku banyak usaha terjemahan ia secara tidak langsung mengkayakan bahasa juga memupuk minat membaca. Gramedia mengecapi sukses bukan kerana mereka melonggokkan buku-buku Inggeris seperti mana MPH di Malaysia, kerana sebaliknya majoriti judul buku dalam toko mereka ialah dalam bahasa Indonesia.

Dan orang Indonesia gemar membaca, dalam bahasa mereka sendiri.

Lalu kita bertanya apakah kerja Dewan Bahasa dan Pustaka selama ini? Juga kenapa agaknya orang Malaysia kurang membaca, lebih-lebih lagi buku dalam bahasa Melayu.

Mungkin boleh tanya PPSMI, yang akhirnya telah dimansuhkan.

III
Dulu aku pernah tulis tentang gergasinya Wikipedia Indonesia jika dibandingkan dengan Wikipedia Melayu.

Hari ini kita melihat bagaimana Gramedia berjaya sebagai toko buku atas bahasa ibunda mereka sendiri. Tidak perlu jadi seperti MPH yang lebih berharap pada jualan buku Inggeris.

Kita juga tahu penulis-penulis Indonesia berjaya dan mampu hidup hasil karya penulisan mereka. Terima kasih pada masyarakat yang mengamalkan budaya membaca.

Di Malaysia walaupun membaca itu lebih kepada suratkhabar atau untuk peperiksaan, masih ada juga penulis yang mampu untuk berjaya.

Jangan cerita pasal Faisal Tehrani atau Salleh Ben Joned. Tengok Ahadiat Akashah saja sudah cukup.

Tulis novel cinta remaja pun sudah okay.

Heh, kenapalah aku masih menulis di blog secara percuma untuk kamu semua?

08 July 2009

Bersemadilah Dengan Aman, Wahai MJ

Malam tadi, atau pukul 1 pagi sebenarnya, aku bangun dari tidur semata-mata mahu tonton upacara peringatan Michael Jackson, langsung dari Staples Center di Los Angeles sana.

Benda sebegini memang tidak pernah berlaku dalam hidup aku. Satu-satunya perkara yang boleh buat aku bangun tidur di malam buat ialah untuk ON Astro dan buka saluran ESPN kerana ada perlawanan bolasepak yang penting. Itu, atau gangguan-gangguan mesra dan penuh dahaga dari kaum perempuan.

Tapi malam tadi, atau pukul 1 pagi sebenarnya, aku bangun untuk ON Astro dan buka saluran E! kerana mahu tonton upacara peringatan Michael Jackson.

Itu pun atas pengaruh Si Sumandak, yang ajak aku tonton bersama, secara metafora.

Upacara bermula agak lambat, lebih kurang 40 minit lewat dari jadual asal. Menakjubkan aku boleh bersengkang mata selama dua jam lebih, kebanyakannya kerana eulogi-eulogi yang menarik bukan lagu yang dipersembahkan.

Yang terhebat pastinya dari Reverend Al Sharpton. Lebih-lebih lagi ayat berikut yang ditujukan kepada anak-anak Michael, “There wasn’t anything strange about your Daddy. What was strange was what your Daddy had to deal with. But he dealt with it anyway.”

Juga bacaan doa penutup dari Pastor Lucius Smith (tidak ada kena mengena dengan Lucius Maximus) yang turut memuatkan ayat berikut, “But, even now the ‘King of Pop’ must bow his knee to the ‘King of Kings’.”

Paris Michael Katherine Jackson, anak Michael, mengungkapkan, “Ever since I was born, Daddy has been the best father you could ever imagine. I just want to say I love him so much”, sebelum menangis dalam pelukan makciknya Janet Jackson. Saat itu aku sendiri pun terasa sebak di dada.

Setiap yang bernyawa pasti akan pergi jua, kembali kepada Tuhan. Cuma satu perkara saja yang aku tidak pasti jawapannya.

“Why they all sing praises to Jesus just now, I thought the brother said Michael is a Muslim?” tanya Si Sumandak.

Terdiam juga aku.

Tapi, asalkan kita semua percaya kepada Tuhan dan berlaku baik, itu sudah cukup bagus.

06 July 2009

Mohan, Michael Dan Maximus

I
Tidak ramai yang kenal siapa itu Mohan Singh. Aku pun sama, hinggalah minggu lepas bila aku terbaca kisah beliau di akhbar.

Mohan Singh a/l Janot Singh semasa hidupnya bekerja sebagai pengarah seni. Salah satu filem terakhir beliau sebelum menghembuskan nafas terakhir ialah Talentime karya Yasmin Ahmad.

Pada 25 Mei 2009 Mohan maut akibat serangan jantung di dalam apartment miliknya di Damansara Damai. Mayatnya kemudian di bawa ke Hospital Sungai Buloh dan ditempatkan di bilik mayat bukan Islam dan hingga saat ini ianya masih di sana.

Ya sudah lebih satu bulan mayat Mohan tidak diuruskan sewajarnya.

Niat ahli keluarga Mohan untuk menuntut mayat beliau bagi upacara pembakaran mengikut kepercayaan Sikh bagaimana pun terbantut apabila pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendakwa Mohan sebenarnya seorang penganut agama Islam.

Maka bermulalah satu lagi episode ‘The Body Snatcher’.

Mengikut saksi-saksi yang terlibat, mereka mendakwa Mohan Singh telah memeluk Islam pada tahun 1992 di Pulau Pinang dan menukar namanya kepada Mohammad Hazzerry Shah Mohan Abdullah.

Pelik bin ajaib, Mohan Singh bagaimana pun berkahwin dengan wanita bukan Islam pada tahun 1997 sebelum kemudiannya bercerai pada tahun 2002. Hasil perkahwinan tersebut Mohan dikurniakan seorang anak perempuan yang mengikut sijil kelahirannya jelas menyatakan nama Punjabi dan Sikh sebagai agama si bapa.

Mohan juga pernah kehilangan Mykad pada Oktober 2008 dan ia kemudiannya digantikan dengan Mykad baru yang masih menggunakan nama Mohan Singh dan tidak mempunyai perkataan ‘Islam’ tertera pada kad tersebut.

Ahli keluarga Mohan juga turut mendakwa bahawa Mohan kerap berkunjung ke Gurdwara sepanjang hidupnya dan melakukan upacara-upacara keagamaan Sikh.

Hujah MAIS mengenai bukti pertukaran agama Mohan kepada Islam terletak pada salinan sijil memeluk Islam yang ada pada simpanan mereka. Hanif Khatri Abdulla, peguam yang mewakili MAIS berkata bahawa kewujudan sijil memeluk Islam tersebut adalah bukti konklusif bahawa Mohan ialah seorang Muslim.

“Ia bukan satu persoalan penting bagaimana atau di mana sijil tersebut ditemui. Ia juga bukan satu persoalan penting sama ada pihak yang menuntut sedar atau tidak akan pertukaran agama tersebut. Apa yang penting ialah sijil itu wujud.”

Dan awan mendung berarak lalu saat mayat Mohan Singh dibiarkan mereput di Hospital Sungai Buloh.

II
Ramai yang kenal siapa itu Michael Jackson. Aku pun sama, semenjak pandai membaca dan berjoget bila dengar muzik.

Michael Jackson semasa hidupnya cukup diketahui ramai apa kerjanya. Cuma yang agak meragukan orang ramai ialah apa agama anutan Michael Jackson. Macamlah ianya terlalu penting.

Lantas bila abang Michael, Jermaine Jackson mendakwa bahawa adiknya telah memeluk Islam maka hampir seluruh dunia Islam menghela nafas lega.

Lebih-lebih lagi yang di Malaysia. Bukan senang mahu dapat King of Pop dari kalangan umat Islam. Elvis Presley bukan Islam, semua ahli The Beatles juga bukan Islam.

Hanya Cat Stevens atau Yusof Islam saja penyanyi antarabangsa tersohor yang Islam. Selain dari Mawi barangkali, yang lebih kepada penyanyi Felda tersohor.

Kemudian Michael Jackson menemui ajalnya. Selepas seminggu lebih mayatnya belum diuruskan sewajarnya, tersebar pula berita bahawa Michael Jackson bakal dikebumikan di Taman Peringatan Forest Lawn di dalam keranda bersadur emas yang bernilai USD25,000.

Setakat ini belum ada insiden ‘The Body Snatcher’ lagi di Los Angeles sana.

Tapi Taman Peringatan Forest Lawn bukanlah kawasan perkuburan Islam. Dan pengebumian Michael Jackson yang pastinya akan lengkap dengan pakaian sut mewah dan disemadikan di dalam keranda bersadur emas 14K yang berharga USD25,000 langsung tidak menyerupai upacara pengebumian Islam.

Hanif Khatri Abdulla dan MAIS, tidak mahu pergi ke Los Angeles sana dan berebut mayat Michael Jackson kah?

III
Aku tidak pasti berapa ramai pula manusia yang kenal Lucius Maximus. Aku pun selalu tertanya-tanya, siapa Lucius Maximus?

Lucius Maximus semasa hidupnya kadang kala menulis blog. Tidak, dia belum mampus lagi saat artikel ini ditulis.

Oleh kerana Lucius menulis dalam bahasa Melayu maka ramai orang dengan mudah membuat kesimpulan Lucius ini berbangsa Melayu. Dan dek kerana di Malaysia ini setiap lelaki dan perempuan yang termaktub dalam sijil kelahirannya sebagai Melayu secara automatik juga menjadi Islam, maka Lucius Maximus disyaki Islam. Berdasarkan hujah tersebut dan bukti-bukti lain seperti kisah-kisah hari raya atau sembahyang Jumaat yang pernah ditulis di blog beliau.

Tapi nama Lucius Maximus bukan nama lazim seorang Islam. Yang kurang membaca akan mendakwa nama tersebut berasal dari nama seorang paderi Rom di Mesir dulu. Yang membaca lebih sedikit tahu yang di Mesir itu satu masa dulu ialah seorang gabenor Rom dan dia bukanlah beragama Kristian.

Apa pun mengikut kata Lucius Maximus nama beliau tidak ada sangkut paut dengan mamat Rom dari Mesir yang sudah lama mampus itu.

Tapi itu tidak menghalang segelintir pembaca untuk bertanya Islamkah Lucius Maximus? Kerana di blognya beliau juga kerap bercerita tentang minum atau masuk bilik anak gadis orang.

Kita juga akan bertanya Islamkah Mohan Singh? Betul ke Michael Jackson itu Islam? Lina Joy, Islamkah dia? Mahathir Mohamed pula, Islam atau tidak? Neil Armstrong? Mike Tyson? Puteri Diana? Astora Jabat? Nabil? Optimus Prime?

Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran yang dibangga-banggakan dunia Islam termasuk yang di Malaysia, Islamkah dia? Kerana kalau mengikut acuan Islam Malaysia, mazhab Syiah itu sudah ibarat menjadi ajaran sesat, boleh dikira murtad. Dan Mahmoud Ahmadinejad itu bermazhabkan Syiah.

Senang cerita, sembang pasal apa agama si polan ini dan si polan itu, sampai kiamat pun tidak akan habis.

Jiwang Pagi Senin

Terima mesej teks pagi Jumaat, dari satu nombor yang tidak aku kenali.

“Uncle sakit, masuk hospital. Heart attack.”

Mulanya tidak pasti siapa yang dimaksudkan. Tapi kemudian aku tahu Uncle yang dimaksudkan bukan salah seorang dari 13 pakcik yang aku ada, kerana mereka ini semua dirujuk dengan panggilan Pak Long, Pak Ngah, Pak Su atau selebihnya sekadar dipanggil pakcik dengan diikuti nama masing-masing.

Jadi hanya ada seorang saja yang aku rujuk sebagai Uncle.

Aku balas mesej teks tersebut dan selang beberapa minit si penghantar telefon aku.

Auntie. Yang semestinya isteri kepada si Uncle yang dimaksudkan tadi.

Berbual untuk beberapa minit, bertanya keadaan Uncle dan apa yang sebenarnya berlaku. Dari yang diceritakan keadaan Uncle agak rumit.

Aku hanya dapat menyampaikan rasa simpati kepada Auntie dan berdoa untuk mereka berdua. Mahu balik, tersangatlah jauh dan secara peribadi aku sebolehnya tidak mahu terlibat dalam kehidupan mereka lagi.

“Auntie dah beritahu L?” aku tanya, merujuk pada anak tunggal mereka.

“Belum lagi, lepas ni nanti baru auntie call dia.”

Jawapan itu buat aku terkesima. Auntie memilih untuk beritahu aku dahulu, yang bukan anak kandungnya, sebelum memberitahu anak perempuannya.

Kata Auntie lagi, Uncle yang suruh dia telefon aku dahulu.

Tujuh tahun yang lalu aku kali pertama berjumpa dengan Uncle dan Auntie, dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Masa itu aku kantoi kerana cuba menyelinap masuk ke bilik anak gadis mereka.

Budak nakal. Nasib aku agak baik tidak kena hayun dengan iron golf Ping i3 milik Uncle. Dan sebaliknya dari dihalau dan diberi amaran untuk tidak datang lagi, aku ditawarkan pula untuk bermalam di rumah mereka. Pastinya kena tidur di bilik tetamu, bertuahlah mereka mahu bagi aku tidur di bilik anak gadis mereka, L.

Dari hari bersejarah itu hubungan aku dengan L bertambah baik dan begitu juga hubungan aku dengan Uncle dan Auntie. Oleh kerana mereka tidak mempunyai anak lelaki, aku dianggap mereka ibarat anak kandung sendiri.

Ya aku nakal tapi aku juga baik. Dari hampir-hampir dihayun dengan iron golf Ping i3 milik Uncle, aku akhirnya menghayun iron golf Ping i3 (masih milik Uncle) bersama Uncle sendiri di driving range.

Perlahan-lahan aku diterima lebih dari sekadar teman lelaki anak gadis mereka. Hatta rumah yang pernah aku terkantoi ketika cuba menyelinap masuk dulu kini terbuka luas dan sentiasa meraikan kehadiran aku.

Uncle dan Auntie yang tidak mempunyai anak lelaki barangkali merasa cukup senang dengan kehadiran aku. Lebih-lebih lagi Uncle yang pada masa itu telah disahkan menghidapi komplikasi jantung dan ditegah oleh doktor dari melakukan kerja-kerja berat.

Lalu tugas aku selain dari bertandang ke rumah untuk mengusung anak gadis mereka ke hulu ke hilir, aku juga bertanggungjawab dalam tugasan-tugasan rumah yang biasanya terletak di bahu seorang lelaki.

Macam potong rumput di laman rumah Uncle yang tersangatlah luas. Bukan kerja mudah kerana dengan menggunakan mesin rumput galas yang berat dan berbahang, kekadang kamu juga akan terjumpa bola-bola golf di sebalik semak-samun yang dicantas.

Selalunya selepas potong rumput aku akan luang masa untuk berlatih memukul bola golf, supaya bulan depan bila aku datang untuk memotong rumput lagi akan ada bola-bola golf tersembunyi di sebalik semak-samun.

Dari potong rumput hinggalah pasang paip air, tanam pokok, cuci kereta, tebang pokok, cuci akuarium dan pasang pintu.

Tidak hairanlah Uncle dan Auntie anggap aku macam anak mereka sendiri. Bukan aku berniat ada udang di sebalik mee goreng, cuma terbawa-bawa sifat aku di rumah sendiri yang memang diajar untuk buat kerja-kerja rumah.

(IKLAN: Para pembaca wanita, please form orderly queue untuk ambil borang. I wash dishes, cook and make my own drink and iron my own shirts myself.)

Maka dari sekadar menjadi teman lelaki anak gadis mereka, aku juga berubah menjadi anak angkat. Kalau lama tidak bertandang atau telefon, Auntie pasti akan telefon aku untuk bertanya khabar, menjemput datang ke rumah dengan janji-janji masakan istimewanya.

Dan Uncle, asalnya dari hanya mengajak aku ke driving range, akhirnya turut mengundang aku ke pelbagai lagi aktiviti luar rumah beliau. Seperti bermain golf di padang golf sebenar, menonton lumba kuda di turf club atau pun sekadar duduk di rumah menonton bolasepak sambil aku membantu menghabiskan stok bir beliau.

Bezanya Uncle sokong Liverpool dan aku pula Chelsea. Biasalah tu, orang veteran.

Lima tahun semenjak kali pertama bertemu di malam aku terkantoi ketika cuba menyelinap masuk ke bilik anak gadis mereka, Uncle dan Auntie memang betul-betul menganggap aku anak kandung mereka sendiri.

Aku pun tiada masalah. They are both nice to me. I respect them both.

Dan setiap kali aku bertandang mereka mengalu-alukan kedatangan aku. Sampai boleh makan tidur di rumah mereka berminggu-minggu. Jadi adatlah kalau sudah dapat tempat tinggal dan makan percuma, kenalah juga membanting tulang sedikit.

Walaupun tidak pernah dinyatakan, aku tahu Uncle dan Auntie berharap untuk aku jadi menantu mereka satu hari nanti.

Tapi kita hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan. Selepas sekian lama dalam hubungan dengan anak gadis mereka, L berubah dan memilih untuk ikut lelaki lain.

Itu pun selepas bermacam insiden dan skandal lain yang wujud sebelum aku dan L putus.

Moral di sini, ibu bapa pasangan kamu mungkin baik dan suka pada kamu tapi itu tidak bermakna pasangan kamu begitu juga.

Aku dan L putus dalam keadaan yang sangat huru-hara. Pendek kata selepas dari itu kami anggap antara satu sama lain sebagai musuh. Sebelum ini pun aku ada juga bekas teman wanita, tapi cuma dengan L seorang saja yang putus dan kemudiannya bermusuh.

Jadi boleh bayangkan betapa palatnya insiden yang berlaku antara aku dan L.

Hakikatnya kamu perlu terus bergerak ke depan. Lalu aku pilih untuk berhenti bertandang ke rumah Uncle dan Auntie dan secara perlahan-lahan memutuskan hubungan antara aku dan mereka.

Bukan aku mahu bermusuh dengan mereka pula tapi itu cara yang terbaik supaya L tidak wujud lagi dalam hidup aku dan sebaliknya.

Selepas dimaklumkan keadaan Uncle, yang termampu aku ucapkan hanya rasa simpati dan harapan semuanya baik-baik sahaja. Mahu balik melawat? Jauh sekali. Mahu telefon kembali bertanya khabar? Sebaiknya tidak perlu.

Aku tahu Uncle dan Auntie kecewa atau sedih. Tapi macam yang aku katakan, perlu terus bergerak ke depan.

Harap-harap anak gadis mereka, L, pandai-pandailah mencari pengganti.

Aku dah malas dah.

01 July 2009

Solitari

Di dalam bilik doktor, 33 minit selepas aku terbatuk-batuk hingga keluar darah.

“Any of your family members suffer from heart failure?”

“Yes,” aku jawab. “My dad.”

“How about cancer, anyone?”

“No. Not among the immediate family members that I know of.”

“Okay. Do you smoke?”

“Yes.”

“You drink?”

“Yes.”

Aku tahu ‘drink’ yang dimaksudkan bukan drink air mineral atau teh ‘o’ ais.

Si doktor menyemak nama aku kembali. “You drink?!”

“Yes, sometimes.”

Si doktor menjeling nama aku lagi dan tenung aku dengan mendalam. “You mean as in drinking beer or whisky?”

Aku getus dalam hati. Aku tahulah apa yang dimaksudkan dengan ‘drink’. Ya semua orang minum air tapi tidak semua minum air yang satu lagi.

“Yes I drink, doctor. And I get drunk occasionally.”

“Alright,” kata si doktor sambil tangannya dengan pantas mencatit sesuatu di atas kertas.

“I am going to refer you to the hospital. You are going to do X-ray, blood test and others. It may just be some flaming due to your continual cough. But it can also be the symptom for pneumonia, TB, lung cancer or even heart failure. You need to go through thorough check up for this.”

Aku terdiam.

Sejam kemudian di dalam bilik ujian sinar-X saat peparu aku mahu dipancarkan sinar-X, aku teringat akan Michael Jackson yang maut akibat kegagalan kardio.

Seorang diri di Sabah tanpa keluarga di sisi.

Patutlah minggu lepas Emak ada bertanya, bila mahu kahwin?